Cerpen : Dan Mereka Hidup Bahagia Selamanya

Saat ini aku sedang mengayuh tanganku untuk menyiapkan segala kerja

Entah kenapa,suara hati membuak untuk melihat dunia

Masa yang sedikit ini, ku cuba contengkan sedikit rasa

Untuk tatapan kamu yang jauh entah di mana

Kebelakangan ini, saat aku rasa terlalu sunyi

Kadang, subuh dan hidupku tak terjaga

Tahajud dan tadabburku berterabur tak tentu hala

Makan minumku yang tak terurus mengundang sakit gastrik dan sebagainya

Aku perlu kamu wahai bidadari

Sebagai bantuan Illahi kepadaku,hamba yang hina

Mengurus hidupku, makan minum dan pakaian yang tak terjaga

Aku sangka, aku sendiri,itu tidak apa-apa

Aku sangka aku kuat, tidak perlukan sesiapa

Namun tembok itu terpecah jua

Oleh peluru yang entah bagaimana,luar biasa

Ku punya Allah yang Esa sebagai peneman setia

Tetapi aku juga Adam yang rindukan Hawa

Saat semua orang tidur dibuai mimpi indah bak permata

Aku bersengkang mata meneruskan cita-cita

Tetaplah di situ wahai bidadariku,

Aku sedang berusaha untuk masa depan kita

Akan kita tuai tanaman itu bersama-sama

Teguhlah bersama doa

Aku akan tetap disini,tidak akan ke mana-mana.

 Qaisar Torriq ; 30 Mac 2009

***

Umaimah tersenyum melihat puisi yang bertulis di atas kertas yang teroksida,kuning itu.

“Saya bidadari?”,Umaimah memandang Qaisar Torriq yang turut tersenyum.

Mata mereka bertaut. Seperti magnet.

” Lebih daripada itu”,Qaisar menjawab.

Jika seratus tahun lagi dia perlu menunggu untuk mendapatkan bidadari di hadapannya itu, dia sanggup menulis sejuta lagi coretan rasa di atas ribuan lagi kepingan pulpa.

Kerana berbaloi. Penungguan itu berbaloi,bukan menyeksakan.

“Saya iqamat ya?”, Suara bidadarinya itu memecah sunyi bilik itu.

Dan fajar pun ikut menyusur,mencerahkan malam pekat dan mencairkan hati-hati mereka yang dilamun cinta.

Kau suatu hari pernah berkata, taman itu kecil sahaja,cukup untuk kau dan aku.
Kau suatu hari pernah berkata, taman itu kecil sahaja,cukup untuk kau dan aku.

 

Advertisements

Cerpen : Di Hujung Doa (Bhg. 2)

“Semua orang boleh hantar lukisan masing-masing atas meja saya sekarang”,Arahan Dr Juma yang tiba-tiba muncul di bilik kuliah itu menyentak diri Umar.Umar merenung lukisan yang gah itu.

“Dari manalah kau datang,wahai lukisan? Patutkah aku hantar kau atau berterus terang sahaja.Kalau aku cakap yang aku tak sempat siapkan lukisan tu, mesti markah assignment 15 % aku kena potong! Kalau hilang 15% itu, teruklah aku! Huh!”, Umar bermonolog.

***

“Umar, kau ok ke?”, Absyar yang sedang leka menonton televisyen itu tiba-tiba bertanya. Sejak Umar balik daripada universiti petang tadi,mukanya nampak berlainan. Tidak ceria seperti biasa.

Umar tidak menjawab.Mengelamun.

“Umar!”, Absyar memanggil lagi.

Umar tersedar daripada lamunannya. “Eh..haa,kau panggil aku ke?”, Umar bertanya, acuh tak acuh.

“Mengelamun je kau! Aku tanya, kau ok ke?”,Umar bertanya kembali soalan tadi.Sedikit kasar,seperti biasa.

“Oh,ok. Aku ok..kenapa?”Umar membalas. Umar beranggapan jika dia memberitahu masalahnya kepada Absyar atau sesiapa sekali pun,mereka tidak akan boleh membantunya.

“Kau tipu orang lainlah Umar. Aku kenal kau, cepat cakap apa masalah kau. Aku bantu!”, Absyar tidak mempercayai Umar. Daripada riak muka dan perangai Umar, dia tahu pasti ada yang menganggu fikiran sahabatnya itu.

Umar mengangkat mukanya dan berkata, “Kau benar-benar sahabat!” kepada Absyar.

Absyar bingung. Umar ini suka berfalsalfah dengannya dan kebanyakan waktu,dia benar-benar tidak faham makna sebenarnya.

“Apa hal pulak aku benar-benar sahabat kau?”, Absyar bertanya. Televisyen di hadapannya dibiarkan tanpa ada orang yang menonton.

“Aku pernah terbaca yang Hilal Asyraf tulis, sahabat yang terbaik ialah bukan yang berkata “Sabarlah,sabarlah”, tetapi sahabat yang akan berkata “apa masalah kau,mari aku bantu”.Jadi, kau benar-benar sahabatlah!”, Wajah Umar yang masam mencuka sebelum ini bertukar menjadi manis seperti madu. Senyumnya berpanjangan.

“Ooo..ok..kalau macam tu,Hilal Asyraf tu siapa?”, Absyar memuncungkan mulutnya.

“Haha, sudahlah Absyar! Malas aku bercakap dengan kau.Hilal Asyraf pun tak kenal!”, Umar sengaja menyakatnya.

“Kau kedekut ilmu dengan aku eh! terimalah balasan kau nanti!”, Absyar membalas. Kata-kata yang tiada maksud apa-apa,sekadar gurauan kasar,itulah cara mereka bergurau. Jika orang lain yang mendengar,pasti mengatakan yang mereka sedang bergaduh.Tetapi,begitulah cara mereka mengeratkan ukhuwah mereka.Bermanja secara kasar. Tidakkah itu juga dikira sebagai manis?

Sweet.

“Kau percaya makhluk ghaib tak?”,Tiba-tiba Umar bertanya. Gelak tawa mereka yang memenuhi ruang tamu sebentar tadi hilang.

“Hishh kau ni.Malam-malam macam ni,cakap pandang-pandanglah!”, Absyar yang sememangnya penakut itu memotong ayat Umar.

“Percaya jugak.Kenapa?”,Absyar tetap menjawab walaupun hatinya sudah mula berdebar.Bimbang kalau-kalau Umar mahu menceritakan kisah seram kepadanya.

“Masa kelas tadi, aku kena hantar assignment lukisan “Minum Petang” aku. Semalam aku tak sempat nak siapkan. Aku cuma sempat tulis temanya sahaja di tengah-tengah sebab masa tu, aku kering idea. Sambil aku fikirkan idea untuk mengolah tema itu, aku tertidur sehinggalah pagi. Jadi, kanvas aku sepatutnya kosong,tiada lukisan. Entah kenapa, bila aku buka beg di dalam kelas tadi, satu lukisan yang sangat cantik ada dalam beg aku. Paling memeranjatkan, temanya sama! Yang aku terkejut, diorang tuduh aku curi karya Kurt Wenner.Itu sangat mustahil!”,Umar menerangkan panjang lebar situasi di kelas tadi.Keningnya dikerut. Semua rakannya menganggap dia meniru karya Kurt Wenner,pelukis jalanan 3D yang terkenal itu disebabkan lukisan itu di dilukiskan secara 3D juga.

Absyar mengangguk tanda faham.

“Wah, Kurt Wenner tu! Aku pernah lihat dia melukis di Switzerland!,”Absyar mengimbas kembali saat dia bercuti dengan keluarganya 5 tahun lepas.Masa itu, ayah dan ibunya masih bersama dan keluarga mereka boleh dikatakan bahagia.

Cuma, dua,tiga tahun ini sahaja  keluarga itu seperti berantakan.

Mulut Umar melopong. “Kau pernah ke Switzerland?”,Umar tidak menyangka.

Absyar cepat-cepat memotong soalan Umar.Malas hendak menerangkan perkara sebenar. Biarlah dia dikenali sebagai pengemis yang tiada harta mahupun keluarga.

“Cantik sangat ke lukisan aku tu?”,Absyar bertanya.

“Lukisan mana?”,Umar bingung. Bila pula masanya Absyar melukis.

“Lukisan yang ala-ala Kurt Wenner tu.Atas kanvas kau. Akulah makhluk ghaib kau tu!”, jawab Absyar sambil senyum bersimpul.

“Astaghfirullah hal ad’zim, Absyar!!”, jerit Umar,terkejut.Dia benar-benar tidak menyangka.Bantal yang ditangannya di baling kuat kepada Absyar.

Absyar ketawa terbahak-bahak. Dia terpaksa menahan tawa sejak mendengar cerita Umar. Lucu.

Absyar sememangnya pandai melukis.Tinggal lagi,dia yang malas berusaha mengembangkan bakatnya.Teknik dan gaya lukisan Kurt Wenner sememangnya menjadi idola Absyar. Dek tidak dapat melelapkan mata semalam kerana memikirkan nasib hidupnya yang tidak menentu, dia cuba untuk melukis atas kanvas kosong milik Umar yang ditinggalkan atas katilnya dan memasukkan lukisan itu kedalam beg Umar.

“Aku conteng-conteng je. Takut kau kena potong markah assignment kau kalau kau tak siap.Aku cadang nak bagi tahu kau sebelum kau kelas pagi tadi, tapi bila aku bangun tidur je,kau dah ke kelas”,jelas Absyar.

Umar seakan tidak percaya. ‘Conteng-conteng’ Absyar itulah yang menggemparkan kelasnya pagi tadi.

“Amacam,aku benar-benar sahabat tak?”,Absyar yang letih ketawa itu mengusik Umar.

“Tak syak lagi!”,Umar turut ketawa.

Tanda tanya yang menyeksa jiwa Umar kini terlerai. Artis di depannya ini benar-benar tidak tahu kehebatannya.

“Umar,aku malulah”, Tona suara Absyar tiba-tiba berubah.

“Aik,malu? Kenapa?”, Umar bertanya.

“Aku dah 3 hari di rumah ni. Baju,pakai baju kau. Makan, kawan-kawan kau masakkan. Tidur, satu bilik dengan kau. Tuala, sabun, ubat gigi, selipar, sofa, tv, semua guna yang kau dan kawan-kawan kau. Aku rasa..aku nak cari duit”, Absyar meluahkan keputusan yang dibuatnya semalam.

“Aku baru mahu cadangkan sesuatu”,Umar mencelah.

“Maksud kau?”.Absyar bertanya.

“Kau jadi pelukis!”, Umar menjawab dengan riang. Mukanya bersinar.

“Aku..jadi pelukis?”,Absyar terkejut. Dia tidak pernah berfikir untuk menjadikan melukis ialah kerjayanya.

“Dah itulah rupa lukisan ala Kurt Wenner kau, kau memang layak jadi pelukis.Aku yakin!”, Umar cuba meyakinkan Absyar. Umar yakin yang sahabatnya itu boleh menjadi pelukis terkenal suatu hari nanti.

“Tapi..aku..”,Absyar masih ragu-ragu.

“Esok kau ambil kanvas aku, pensel-pensel lukisan, warna air, warna minyak, dan segala macam pekakas yang kau perlu, pergi cari port cantik dan start melukis,ok?”, bagaikan seorang kapten,Umar memberi arahan.

“Tapi,aku..tak pernah kerja sebelum ni?”, Absyar meluahkan kebimbangannya. Baginya,untuk bekerja ialah pilihan yang paling akhir untuk hidup.

“Belajarlah. Aku yakin kau boleh”,Umar menepuk-nepuk bahu Absyar.

Tidak semena-mena,mata Absyar panas.Entah kenapa, hatinya akhir-akhir ini begitu sensitif. Dia terharu dengan Umar yang selalu menyokong dan membantunya. Ayahnya sendiri juga tidak pernah mempercayai dan menyokong apa yang dia lakukan.

Absyar mengangguk-angguk tanda faham. Sengaja dia sembunyikan matanya yang mula berair itu.

***

“Berapa harga satu potret bang?,satu suara daripada belakang mengejutkan Absyar.

“13 ringgit”,Absyar menjawab. Petang yang redup itu menarik ramai pengunjung ke Tasik Mutiara itu. Absyar mengambil tempat di bawah pohon redang dan satu kerusi untuk pengunjung yang mahu dipotretkan wajahnya turut disediakan.

“Mahalnya! 10 ringgit ke 7 ringgit ke tak boleh ke bang?”, pemuda itu meninggikan suaranya.

Hati Absyar tercabar.

“Kalau dah papa kedana,tak payahlah nak potret bagai”,Absyar membalas.

“Apa? Kau kutuk aku papa kedana? Eh, kau yang pacak kertas lukisan kau kat sini tu tak papa kedana ke? Kalau kau kaya,kau tak disini kan?”,Pemuda tersebut naik berang dek kata-kata Absyar.Senang-senang menuduh orang lain papa kedana.

Pergaduhan itu semakin ‘menyala’. Orang ramai mula memberi perhatian kepada mereka. Penat bertelagah, pemuda itu mengalah,lalu tinggalkan Absyar dan Tasik Mutiara yang semakin ditelan senja itu.

Absyar mengemaskan peralatannya dan pulang ke rumah. Tiada pendapatan mahupun kemajuan.

***

 “Ah,malas aku nak kerja lagi! Manusia semua sama.Banyak bunyi!”,Malam itu,Umar meminjam telinganya untuk mendengar cerita Absyar.

“Dah kau kasar sangat,manalah ada pelanggan. Cuba kau belajar lemah lembut sikit,”Umar memberi cadangan.

“Sejak lahir,aku macam ni,mana boleh ubah!”,bentak Absyar.

“Tak, kau boleh. Ikut aku,” Umar memberi harapan kepada Absyar dan bersedia mengadakan kelas “soft skill” kepada Absyar malam itu.

“Assalamualaikum abang,kakak,adik,mak cik,pakcik..mahu dapatkan potret wajah anda? Hanya 8 ringgit satu potret!”,Umar berkata sambil berdiri dan menunjukkan gaya kepada Absyar untuk menarik pelanggan.

Mata Absyar membesar.

“8 ringgit? Bila aku nak kaya?”,Absyar membantah. Fikirnya, hanya sekali dua bekerja,dia sepatutnya kaya,banyak duit untuk membeli kereta,baju,seluar dan sebagainya.

“Itulah masalah kau. Jangan fikir untuk kaya dulu. Fikir untuk menumpahkan bakat kau,untuk menghargai bakat yang Allah berikan kepada kau. Kalau kau percaya Allah,Allah akan bagi lebih daripada apa yang kau mahu!”,Umar membalas.

“Kau percaya Allah?”, Umar sengaja bertanya. Sejak tiga hari dirumahnya,dia tidak pernah nampak Absyar solat mahupun membaca Al-Quran. Cadangnya,dia ingin mengajak Absyar bersama-sama ke masjid berdekatan rumah mereka itu.

Allah.

Satu nama yang dia sudah lama tidak sebut. Sejak ibunya meninggalkan dia dan ayahnya,dia merasakan seperti Tuhan dan dunia ini tidak adil.Orang lain boleh hidup bahagia walaupun miskin,tetapi keluarga mereka tidak bahagia walaupun semuanya ada.Ditambah pula dengan ayahnya yang baru ‘membuangnya’ , bertambah pula perasaan ketidakadilan Tuhan kepadanya.  Sudah lama dia tidak sujud,mencium sejadah semenjak hidupnya bagai hilang punca.

Serabut.

“Allah..”, nama itu terpacul perlahan dari mulut Absyar.

“Pernah kau rasa DIA tidak adil?”,Absyar menyoal Umar.

Inspirasi : Cahaya dalam kegelapan. Malam itu tak selamanya gelap!
Inspirasi : Cahaya dalam kegelapan. Malam itu tak selamanya gelap!

*Bhg.1 >> https://iasvoyage.wordpress.com/2013/04/25/cerpen-di-hujung-doa-bhg-1/

Cerpen : Di Hujung Doa (Bhg.1)

Semburan-semburan asid ke dinding perutnya semakin galak,diminta untuk diisi. Sakit gastriknya mula menyerang. Kerongkong terasa kering bagai berada di padang pasir. Selipar yang dahulunya elok,kini semakin usang dan hampir menemui ajalnya.Jalan-jalan yang diterangi lampu neon itu disusuri tanpa ada ada arah tujuan. Orang ramai lalu lalang di kanan dan kirinya. Ada yang berjalan dengan cepat,sambil bercakap telefon seperti seorang menteri yang sibuk dan tak kurang juga yang berjalan seperti bersiar-siar,mengambil angin.

Dia.

Dia berjalan langkah demi langkah.Sambil matanya melilau kesana-sini, menekan-nekan perutnya yang  sudah lama memberi signal untuk diisi.Layaknya hanya dia seorang yang paling selekeh dan mungkin juga yang paling berbau dek tidak mandi selama seminggu. Orang yang lalu lalang melihatnya sambil mengerutkan dahi dan ramai juga yang seakan-akan tidak melihatnya. Manusia selekeh,siapa mahu tengok? Itulah anggapannya.

Dia mula menerima hakikat bahawa statusnya sekarang ialah “pengemis”.Ya. Pengemis jalanan.

Hidungnya kembang kempis menangkap bau makanan enak yang datang daripada restoran-restoran di depan,tepi dan belakangnya. Sudah seminggu jugalah dia menghabiskan makanan-makanan yang tidak dihabiskan oleh pelanggan yang datang berkunjung ke restoran-restoran itu. Itupun jika dia sempat melarikan diri sebelum pemilik restoran itu menjerit dan menghalaunya pergi.Jika tidak, berlaparlah dia sehingga malam yang berikutnya.

Itulah rutinnya. Tidur sepanjang hari di waktu siang, malamnya merayau mencari makanan dan tidur lagi.

***

“Apa? Keluar daripada rumah ini?”,dia terkejut.Bagai terkena satu renjatan elektrik yang begitu tinggi voltannya .Dia  bagaikan tidak percaya yang ayah kandungnya itu sanggup menghalaunya keluar dari rumah mereka sendiri.

Atau mungkin dia sebenarnya anak angkat yang dahulunya dikutip di tepian jalan seperti kebanyakan drama Melayu yang sering ditayangkan.

Pelbagai tanggapan meliar di benak hatinya. Mukanya terasa panas,seperti matahari  gergasi yang tiba-tiba menembusi rumahnya yang berhawa dingin itu. Marah.

“Ayah mahu kau berdikari. Keluar sekarang! Belajar jadi manusia!”, Suara ayahnya begitu nyaring.

Jadi, selama ini dia bukan manusia? Air matanya bergenang. Lalu cepat-cepat ditahannya.Ego.

Terasa seperti ayahnya telah menjatuhkan “talak tiga” ke atasnya lalu keluar meninggalkan rumah mewah itu sehelai sepinggang,tanpa beg berisi pakaian.Hatinya panas dan untuk  menangis sambil mengemas beg pakaian, itu bukan dia.

Ayahnya sudah membuangnya. Sama seperti ibunya yang melarikan diri entah kemana bersama lelaki yang kononya lebih dicintainya atau mungkin sahaja ibu mencintai harta lelaki itu.

Dunia ialah pentas dan mereka ‘berlakon’ dengan cemerlang.

***

“Hei Busuk! Pergi dari kedai aku! Kau bawa malang,tau tak?!”, Tidak sempat dia menyentuh seekor ikan goreng yang tidak habis di atas meja restoran itu,satu suara lelaki memekak telinganya.

Tidak cukup dengan menjerit, pemilik restoran itu mengejarnya dengan penyapu.Dia berlari sekuat hati dan semua orang ketawa melihatnya.Ada juga yang mencemuh sambil menasihati anak-anak mereka supaya belajar dengan bersungguh-sungguh agar tidak menjadi seperti dia.

Dia hanya ingin makanan sesuap. Terasa dunia dan semua orang tidak memahaminya.

Angin malam yang sejuk itu meresap ke tulangnya yang paling dalam. Entah sama ada pasir memasuki matanya atau matanya sakit dijangkiti kuman, matanya berair. Dalam bahasa tidak egonya, dia menangis.Sedih dan hiba.Dia menangis semahu-mahunya.

Lapar itu menyeksanya.

Gelaran “pembawa malang” itu lebih menyeksa jiwa.

Lutut bertemu dada dan kepala ditundukkan rapat, dia menangis sehingga bahunya terhenjut-henjut.Orang ramai yang lalu lalang tidak lagi dihiraukannya.Ego yang menggunung mencecah langit kini menjadi sekecil butiran pasir di pantai. Hiba.

Dia tidak pernah berasa terhina seperti sekarang. Meminta-minta dan disepak terajangkan oleh orang, baginya mati ialah lebih baik. Anak Dato’ Reha yang punya aset berjuta ratus ringgit tidak layak untuk hidup sebegini! Bentak hati kecilnya. Memarahi Tuhan kerana mengaturkan takdir sebegitu teruk kepadanya.

Tiba-tiba,bahunya seperti disentuh lembut.

“Ah,tidak mungkin ada yang mahu mendekatiku!”, hati kecilnya berkata.Kepalanya masih ditundukkan.

Sekali lagi, dia merasakan bahunya ditepuk perlahan. Sambil mengelap sisa-sia air matanya, dia mendongakkan kepalanya.

“Nasi ayam?”,seorang lelaki berbaju ungu dan berseluar jeans tersenyum padanya sambil menawarkan sebungkus nasi ayam yang di bungkuskan dalam bekas polystyrene.

Baginya, lelaki itu ialah malaikat.

Bau nasi ayam yang menggoda hidungnya itu mendorong dia untuk terus mengambil polystyrene di tangan lelaki itu tanpa sepatah kata lalu dia makan dengan rakusnya.

Satu minit berlalu,dan dia sudah menghabiskan nasi ayam itu. Sisa-sisa nasi di tepi mulutnya dikutip dan dimasukkan semula kedalam mulut.Tidak mahu membazir.

“Kenyang?”, Tiba-tiba lelaki berbaju ungu itu menyoal. Dia tidak perasan bahawa lelaki itu duduk bersila di tepinya.

“Kau nak apa? Aku tidak ada duit.” Tanpa menjawab soalan lelaki itu, dia memintas. Dia bingung,kenapa lelaki itu memberi nasi ayam kepadanya. Pasti mahukan sesuatu.

“Atau, dia tahu bahawa aku anak Dato’ Reha dan mahu menculikku untuk meminta ganjaran daripada ayah?”, prasangka mula menjalar dengan subur di benak fikirannya. Dia berdiri, ingin lari daripada lelaki itu. Tetapi, tangannya dipegang memaksa dia untuk duduk kembali.

“Aku Umar. Umar Hisyam”,lelaki itu memperkenalkan dirinya walaupun tidak disuruh.

“Sudah beberapa hari aku lihat kau kena halau dengan tauke restoran itu?”,lelaki bernama Umar itu menyoal sambil menuding kearah restoran yang sering dia dihalau.

“Makhluk kedekut tu?”,dia muncungkan bibirnya,menjuih ke arah restoran yang selalu menghalaunya itu.

“Sisa makanan pun nak simpan! Bodoh!”,sambungnya. Menambah perasa dalam setiap katanya seperti kebiasaan.Tidak hairanlah mengapa dia tidak punya ramai kawan dalam hidupnya.

Umar tersenyum.

“Lepas ni, kau nak buat apa?”, Tanya Umar.

“Tidur”.Jawabnya ringkas.Memang itu rutin tetapnya.

“Selepas itu? Esok? Lusa?”, Umar menyoal lagi.

“Masih seperti ini? Selamanya?”, Umar menduga,tanpa menunggu jawapan daripadanya.

“Hmm..”,dia mula menggaru kepalanya.

Dia mula berfikir. Ada benarnya juga. Sampai bila dia mahu hidup seperti ini.Hidup meminta-minta dan dihina, seminggu pun dia tidak dapat tahan,apatah lagi selamanya? Benar-benar mimpi ngeri.

“Kau..mahu.. tolong aku?”, dia menyoal perlahan. Soalan seperti itu bagaikan penjatuh maruahnya. Sepanjang dia hidup, dia tidak pernah meminta pertolongan dengan orang lain. Semua ayahnya tunaikan. Tetapi,dia sedar, jika dia melepaskan peluang ini, dia akan menjadi pengemis selamanya. Dia mahu keluar daripada dunia kelam itu. Jadi, ego, prasangka dan sombong harus ditolak jauh-jauh.

Umar tersenyum lebar. “Kalau kau mahu tolong diri kau,aku boleh tolong kau”, Umar membalas.

“Hei, tak payah nak falsafah sangat. Aku tak faham. Kau nak tolong aku?”, dia membentak.Kata berbelit yang dilontarkan Umar sukar untuk dia faham.

Umar tersenyum lagi. Geli hati melihat dia yang suka bercakap kasar dan ego. Itu harus diubah.

“Jom, ikut aku!”,Umar lantas bangun berdiri, sambil melihat dia yang masih duduk.

“Kita sekarang ialah kawan”, Umar berkata lagi sambil menghulurkan tangannya untuk dijabat.

Dia tersentak.

Kawan?

Sudah lama dia tidak mendengar perkataan itu. Sudah lama tiada orang yang sudi mengajaknya berkawan.

Matanya terpana.Melihat satu sosok tubuh yang mahu berkawan dengannya. Manusia apakah ini? Matanya bergenang sayu. Seperti ada satu rasa yang sukar diterjemah olehnya. Satu perasaan suam yang menenangkan menjalar hebat dalam tubuhnya dan tangan mereka pun terjabat erat.

“Ambil barang-barang kau,iku aku!”, Umar memberi arahan.

Dia melihat sekelilingnya.

“Tiada barang apa-apa”, Katanya sambil mencebik mulutnya.

Comel.Umar ketawa.Geli hati.

“Kenapa kau ketawa? Hina aku?”, dia menyoal kasar.

“Taklahhh,kau comel!”,Umar ketawa dan dia pun ketawa.

Mereka berjalan seiringan,seperti sudah lama kenal.

“Eh,apa nama kau?”,tiba-tiba Umar teringat yang dia tidak memperkenalkan dirinya lagi.

“Aku? Aku Absyar. Syahir Absyar”, dia perkenalkan namanya.

“Sedap nama kau!”, Umar menepuk bahunya.

“Orang hensem mestilah nama pun sedap”, dia menempelak.

Gurauan yang pertama buat manusia yang bergelar kawannya. Mereka pun berjalan memecah pekat malam.Satu silaturrahim terbina dan malam pun berlabuh,perlahan.

***

Umar membawa Absyar ke rumah sewanya. Umar ialah seorang pelajar universiti di sebuah universiti tempatan yang menuntut dalam jurusan Seni Visual dan Sentuh.

Dia tinggal bersama 3 orang lagi rakan sejurusannya iaitu Zailani Omar, Abdul Ghafur dan Alaric Idris. Tidak seperti rumah mewah yang selama ini didiami oleh Absyar, rumah sewa itu sederhana sahaja,cukup untuk orang bujang seperti mereka.

“Mulai hari ni, Absyar akan tinggal sebilik dengan aku”, Umar membuat pengumuman di hadapan tiga lagi teman serumahnya itu.

Zailani,Ghafur dan Alaric memandang Absyar dari atas ke bawah, hairan dengan pakaian yang compang-camping dan kumis yang tak terjaga.Layaknya..seperti pengemis.

“Mulai hari ini juga, berukhuwahlah kita,jangan pandang serong antara satu sama lain dan bersahabatlah kerana Allah!”,Umar menyambung lagi kerana sedar pandangan tajam yang dilemparkan kepada Absyar oleh tiga orang teman serumahnya itu.

Absyar terharu.Masih ada manusia yang inginkan ukhuwah dengannya. Jasa orang-orang ini tidak terbalas!

***

“Gila lah kau,Umar! Kau plagiat Kurt Wenner eh?”,rakan-rakan Umar mengelilingi kanvas Umar. Riuh.

Hari itu menjadi hari yang gempar dek satu kanvas.Kanvas Umar.

Umar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Dia juga bingung melihat kanvas lukisan di hadapannya itu. Lukisan yang bertemakan “Minum Petang” itu kelihatan sangat “hidup”.Seolah-olah karakter, pakaian, kerusi, pinggan, cawan, meja kopi dan semuanya tampak hidup. Apatah lagi lukisan itu diolah menjadi suasana minum petang klasik di istana bersama raja,bendahara dan panglima-pamglima Melayu. Tona warna yang tidak terlalu terang dan tidak pula terlalu lembut ditambah dengan perincian tepat setiap lukisan itu menjadikan semua mata tidak berkelip melihat lukisan itu. Bagaikan lukisan daripada kayangan. Mempesonakan.

“Kau plagiat!”,Qaisar,salah seorang rakan sekelasnya yang sangat pandai melukis menuding jari kepadanya. Satu kelas diam. Mereka faham benar dengan perangai Qaisar yang tidak senang jika lukisan orang lain lebih hebat daripadanya.

Umar terdiam. “Plagiat? Ah..aku juga tidak tahu sumber plagiarism ini!”,bentak hatinya.

Inspirasi : Shanghai Tea Party by Kurt Wenner.
Inspirasi : Shanghai Tea Party by Kurt Wenner.

Sambungan : https://iasvoyage.wordpress.com/2013/04/28/cerpen-di-hujung-doa-bhg-2/

Zealous

Bismillah.

On my way of reading Alchemy of Forever by Avery Williams. My first incarnation-theme novel which is somehow tally with a korean drama of Rooftop Prince. The novel is quite advance in language which forces me to spend quite a long time to finish it. But, insyaAllah, will finish it proud.

It seems like I started to love unusual and weird things,huh?

I just love to be out of this noisy planet and by reading those type of genre really made me.Not to mention that I hope I can write some novels and story like that too! Pray for me 🙂

This week is really a red-letter week. Knowing that my short story had been published on a website two months ago really make me in huge gratitude. Alhamdulillah.All praise to Allah. I just write to fulfill the “fire” inside me and not expect to receive that good news.

After all, it’s really a good beginning.

Until then, continue living and do something outstanding!

Alchemy of Forever - Avery Williams
Alchemy of Forever – Avery Williams

Puisi : Perhentian

Kau sebelum ini ialah cahaya

Bak matahari untuk bunga

Kini kau sirna kerana dunia

Kelam tak bercahaya

Menjadi sibuk, terlupa Yang Esa

Dulu, solat dhuha

Mathurat sebelum senja

Hadis-hadis di minda

Kalam-NYA menjadi nasihat utama

Dan makan tidur kau berdoa

Kau yang dulu dan kau yang kini ; berbeza

Usia semakin senja

Namun bekalan ke sana tak seberapa

Ambillah dunia ini seadanya

Kerana dunia itu laut

Dan kita ialah kapalnya

Kapal yang dipenuhi air laut pasti karam ke dasarnya

Kelam.

Tak bernyawa.

Berhentilah. Teliti diri seketika.

551275_524095284295748_667334118_n

Puisi : Kau Gila.

Mereka sangka kau gila

Tersenyum sendiri berjalan di bawah panas buta

Tanpa payung besar melindungi kaki dan muka

Asalkan hati kau sejuk,maka payung seperti mereka tak perlu kau guna

Terfikir tentang satu kata bernama cinta

Cinta DIA yang buat panas dan sejuk terasa

Hidup ini senang sahaja

Ikut perintah DIA dan tinggalkan perkara yang DIA murka

Cukup itu destinasi Cinta.

Tanpa cinta itu,tak mungkin kau hidup atas dunia

Belajarlah bersyukur wahai saudara

Kita ini hamba

Punya Allah yang hebat, luar biasa.

Ya ,kau gila.

Gila untuk merebut takhta cinta DIA

270863_10150964406619496_846105088_n