CERPEN

Cerpen : Di Hujung Doa (Bhg.1)

Semburan-semburan asid ke dinding perutnya semakin galak,diminta untuk diisi. Sakit gastriknya mula menyerang. Kerongkong terasa kering bagai berada di padang pasir. Selipar yang dahulunya elok,kini semakin usang dan hampir menemui ajalnya.Jalan-jalan yang diterangi lampu neon itu disusuri tanpa ada ada arah tujuan. Orang ramai lalu lalang di kanan dan kirinya. Ada yang berjalan dengan cepat,sambil bercakap telefon seperti seorang menteri yang sibuk dan tak kurang juga yang berjalan seperti bersiar-siar,mengambil angin.

Dia.

Dia berjalan langkah demi langkah.Sambil matanya melilau kesana-sini, menekan-nekan perutnya yang  sudah lama memberi signal untuk diisi.Layaknya hanya dia seorang yang paling selekeh dan mungkin juga yang paling berbau dek tidak mandi selama seminggu. Orang yang lalu lalang melihatnya sambil mengerutkan dahi dan ramai juga yang seakan-akan tidak melihatnya. Manusia selekeh,siapa mahu tengok? Itulah anggapannya.

Dia mula menerima hakikat bahawa statusnya sekarang ialah “pengemis”.Ya. Pengemis jalanan.

Hidungnya kembang kempis menangkap bau makanan enak yang datang daripada restoran-restoran di depan,tepi dan belakangnya. Sudah seminggu jugalah dia menghabiskan makanan-makanan yang tidak dihabiskan oleh pelanggan yang datang berkunjung ke restoran-restoran itu. Itupun jika dia sempat melarikan diri sebelum pemilik restoran itu menjerit dan menghalaunya pergi.Jika tidak, berlaparlah dia sehingga malam yang berikutnya.

Itulah rutinnya. Tidur sepanjang hari di waktu siang, malamnya merayau mencari makanan dan tidur lagi.

***

“Apa? Keluar daripada rumah ini?”,dia terkejut.Bagai terkena satu renjatan elektrik yang begitu tinggi voltannya .Dia  bagaikan tidak percaya yang ayah kandungnya itu sanggup menghalaunya keluar dari rumah mereka sendiri.

Atau mungkin dia sebenarnya anak angkat yang dahulunya dikutip di tepian jalan seperti kebanyakan drama Melayu yang sering ditayangkan.

Pelbagai tanggapan meliar di benak hatinya. Mukanya terasa panas,seperti matahari  gergasi yang tiba-tiba menembusi rumahnya yang berhawa dingin itu. Marah.

“Ayah mahu kau berdikari. Keluar sekarang! Belajar jadi manusia!”, Suara ayahnya begitu nyaring.

Jadi, selama ini dia bukan manusia? Air matanya bergenang. Lalu cepat-cepat ditahannya.Ego.

Terasa seperti ayahnya telah menjatuhkan “talak tiga” ke atasnya lalu keluar meninggalkan rumah mewah itu sehelai sepinggang,tanpa beg berisi pakaian.Hatinya panas dan untuk  menangis sambil mengemas beg pakaian, itu bukan dia.

Ayahnya sudah membuangnya. Sama seperti ibunya yang melarikan diri entah kemana bersama lelaki yang kononya lebih dicintainya atau mungkin sahaja ibu mencintai harta lelaki itu.

Dunia ialah pentas dan mereka ‘berlakon’ dengan cemerlang.

***

“Hei Busuk! Pergi dari kedai aku! Kau bawa malang,tau tak?!”, Tidak sempat dia menyentuh seekor ikan goreng yang tidak habis di atas meja restoran itu,satu suara lelaki memekak telinganya.

Tidak cukup dengan menjerit, pemilik restoran itu mengejarnya dengan penyapu.Dia berlari sekuat hati dan semua orang ketawa melihatnya.Ada juga yang mencemuh sambil menasihati anak-anak mereka supaya belajar dengan bersungguh-sungguh agar tidak menjadi seperti dia.

Dia hanya ingin makanan sesuap. Terasa dunia dan semua orang tidak memahaminya.

Angin malam yang sejuk itu meresap ke tulangnya yang paling dalam. Entah sama ada pasir memasuki matanya atau matanya sakit dijangkiti kuman, matanya berair. Dalam bahasa tidak egonya, dia menangis.Sedih dan hiba.Dia menangis semahu-mahunya.

Lapar itu menyeksanya.

Gelaran “pembawa malang” itu lebih menyeksa jiwa.

Lutut bertemu dada dan kepala ditundukkan rapat, dia menangis sehingga bahunya terhenjut-henjut.Orang ramai yang lalu lalang tidak lagi dihiraukannya.Ego yang menggunung mencecah langit kini menjadi sekecil butiran pasir di pantai. Hiba.

Dia tidak pernah berasa terhina seperti sekarang. Meminta-minta dan disepak terajangkan oleh orang, baginya mati ialah lebih baik. Anak Dato’ Reha yang punya aset berjuta ratus ringgit tidak layak untuk hidup sebegini! Bentak hati kecilnya. Memarahi Tuhan kerana mengaturkan takdir sebegitu teruk kepadanya.

Tiba-tiba,bahunya seperti disentuh lembut.

“Ah,tidak mungkin ada yang mahu mendekatiku!”, hati kecilnya berkata.Kepalanya masih ditundukkan.

Sekali lagi, dia merasakan bahunya ditepuk perlahan. Sambil mengelap sisa-sia air matanya, dia mendongakkan kepalanya.

“Nasi ayam?”,seorang lelaki berbaju ungu dan berseluar jeans tersenyum padanya sambil menawarkan sebungkus nasi ayam yang di bungkuskan dalam bekas polystyrene.

Baginya, lelaki itu ialah malaikat.

Bau nasi ayam yang menggoda hidungnya itu mendorong dia untuk terus mengambil polystyrene di tangan lelaki itu tanpa sepatah kata lalu dia makan dengan rakusnya.

Satu minit berlalu,dan dia sudah menghabiskan nasi ayam itu. Sisa-sisa nasi di tepi mulutnya dikutip dan dimasukkan semula kedalam mulut.Tidak mahu membazir.

“Kenyang?”, Tiba-tiba lelaki berbaju ungu itu menyoal. Dia tidak perasan bahawa lelaki itu duduk bersila di tepinya.

“Kau nak apa? Aku tidak ada duit.” Tanpa menjawab soalan lelaki itu, dia memintas. Dia bingung,kenapa lelaki itu memberi nasi ayam kepadanya. Pasti mahukan sesuatu.

“Atau, dia tahu bahawa aku anak Dato’ Reha dan mahu menculikku untuk meminta ganjaran daripada ayah?”, prasangka mula menjalar dengan subur di benak fikirannya. Dia berdiri, ingin lari daripada lelaki itu. Tetapi, tangannya dipegang memaksa dia untuk duduk kembali.

“Aku Umar. Umar Hisyam”,lelaki itu memperkenalkan dirinya walaupun tidak disuruh.

“Sudah beberapa hari aku lihat kau kena halau dengan tauke restoran itu?”,lelaki bernama Umar itu menyoal sambil menuding kearah restoran yang sering dia dihalau.

“Makhluk kedekut tu?”,dia muncungkan bibirnya,menjuih ke arah restoran yang selalu menghalaunya itu.

“Sisa makanan pun nak simpan! Bodoh!”,sambungnya. Menambah perasa dalam setiap katanya seperti kebiasaan.Tidak hairanlah mengapa dia tidak punya ramai kawan dalam hidupnya.

Umar tersenyum.

“Lepas ni, kau nak buat apa?”, Tanya Umar.

“Tidur”.Jawabnya ringkas.Memang itu rutin tetapnya.

“Selepas itu? Esok? Lusa?”, Umar menyoal lagi.

“Masih seperti ini? Selamanya?”, Umar menduga,tanpa menunggu jawapan daripadanya.

“Hmm..”,dia mula menggaru kepalanya.

Dia mula berfikir. Ada benarnya juga. Sampai bila dia mahu hidup seperti ini.Hidup meminta-minta dan dihina, seminggu pun dia tidak dapat tahan,apatah lagi selamanya? Benar-benar mimpi ngeri.

“Kau..mahu.. tolong aku?”, dia menyoal perlahan. Soalan seperti itu bagaikan penjatuh maruahnya. Sepanjang dia hidup, dia tidak pernah meminta pertolongan dengan orang lain. Semua ayahnya tunaikan. Tetapi,dia sedar, jika dia melepaskan peluang ini, dia akan menjadi pengemis selamanya. Dia mahu keluar daripada dunia kelam itu. Jadi, ego, prasangka dan sombong harus ditolak jauh-jauh.

Umar tersenyum lebar. “Kalau kau mahu tolong diri kau,aku boleh tolong kau”, Umar membalas.

“Hei, tak payah nak falsafah sangat. Aku tak faham. Kau nak tolong aku?”, dia membentak.Kata berbelit yang dilontarkan Umar sukar untuk dia faham.

Umar tersenyum lagi. Geli hati melihat dia yang suka bercakap kasar dan ego. Itu harus diubah.

“Jom, ikut aku!”,Umar lantas bangun berdiri, sambil melihat dia yang masih duduk.

“Kita sekarang ialah kawan”, Umar berkata lagi sambil menghulurkan tangannya untuk dijabat.

Dia tersentak.

Kawan?

Sudah lama dia tidak mendengar perkataan itu. Sudah lama tiada orang yang sudi mengajaknya berkawan.

Matanya terpana.Melihat satu sosok tubuh yang mahu berkawan dengannya. Manusia apakah ini? Matanya bergenang sayu. Seperti ada satu rasa yang sukar diterjemah olehnya. Satu perasaan suam yang menenangkan menjalar hebat dalam tubuhnya dan tangan mereka pun terjabat erat.

“Ambil barang-barang kau,iku aku!”, Umar memberi arahan.

Dia melihat sekelilingnya.

“Tiada barang apa-apa”, Katanya sambil mencebik mulutnya.

Comel.Umar ketawa.Geli hati.

“Kenapa kau ketawa? Hina aku?”, dia menyoal kasar.

“Taklahhh,kau comel!”,Umar ketawa dan dia pun ketawa.

Mereka berjalan seiringan,seperti sudah lama kenal.

“Eh,apa nama kau?”,tiba-tiba Umar teringat yang dia tidak memperkenalkan dirinya lagi.

“Aku? Aku Absyar. Syahir Absyar”, dia perkenalkan namanya.

“Sedap nama kau!”, Umar menepuk bahunya.

“Orang hensem mestilah nama pun sedap”, dia menempelak.

Gurauan yang pertama buat manusia yang bergelar kawannya. Mereka pun berjalan memecah pekat malam.Satu silaturrahim terbina dan malam pun berlabuh,perlahan.

***

Umar membawa Absyar ke rumah sewanya. Umar ialah seorang pelajar universiti di sebuah universiti tempatan yang menuntut dalam jurusan Seni Visual dan Sentuh.

Dia tinggal bersama 3 orang lagi rakan sejurusannya iaitu Zailani Omar, Abdul Ghafur dan Alaric Idris. Tidak seperti rumah mewah yang selama ini didiami oleh Absyar, rumah sewa itu sederhana sahaja,cukup untuk orang bujang seperti mereka.

“Mulai hari ni, Absyar akan tinggal sebilik dengan aku”, Umar membuat pengumuman di hadapan tiga lagi teman serumahnya itu.

Zailani,Ghafur dan Alaric memandang Absyar dari atas ke bawah, hairan dengan pakaian yang compang-camping dan kumis yang tak terjaga.Layaknya..seperti pengemis.

“Mulai hari ini juga, berukhuwahlah kita,jangan pandang serong antara satu sama lain dan bersahabatlah kerana Allah!”,Umar menyambung lagi kerana sedar pandangan tajam yang dilemparkan kepada Absyar oleh tiga orang teman serumahnya itu.

Absyar terharu.Masih ada manusia yang inginkan ukhuwah dengannya. Jasa orang-orang ini tidak terbalas!

***

“Gila lah kau,Umar! Kau plagiat Kurt Wenner eh?”,rakan-rakan Umar mengelilingi kanvas Umar. Riuh.

Hari itu menjadi hari yang gempar dek satu kanvas.Kanvas Umar.

Umar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Dia juga bingung melihat kanvas lukisan di hadapannya itu. Lukisan yang bertemakan “Minum Petang” itu kelihatan sangat “hidup”.Seolah-olah karakter, pakaian, kerusi, pinggan, cawan, meja kopi dan semuanya tampak hidup. Apatah lagi lukisan itu diolah menjadi suasana minum petang klasik di istana bersama raja,bendahara dan panglima-pamglima Melayu. Tona warna yang tidak terlalu terang dan tidak pula terlalu lembut ditambah dengan perincian tepat setiap lukisan itu menjadikan semua mata tidak berkelip melihat lukisan itu. Bagaikan lukisan daripada kayangan. Mempesonakan.

“Kau plagiat!”,Qaisar,salah seorang rakan sekelasnya yang sangat pandai melukis menuding jari kepadanya. Satu kelas diam. Mereka faham benar dengan perangai Qaisar yang tidak senang jika lukisan orang lain lebih hebat daripadanya.

Umar terdiam. “Plagiat? Ah..aku juga tidak tahu sumber plagiarism ini!”,bentak hatinya.

Inspirasi : Shanghai Tea Party by Kurt Wenner.

Inspirasi : Shanghai Tea Party by Kurt Wenner.

Sambungan : https://iasvoyage.wordpress.com/2013/04/28/cerpen-di-hujung-doa-bhg-2/

Advertisements
Standard

4 thoughts on “Cerpen : Di Hujung Doa (Bhg.1)

  1. Pingback: Cerpen : Di Hujung Doa (Bhg. 2) | IZNI ARIFAH SHUIB

  2. Pingback: Cerpen : Di Hujung Doa (Bhg. Akhir) | IZNI ARIFAH SHUIB

  3. Pingback: It is a bless! | IZNI ARIFAH SHUIB ©

Speak your mind here! :]

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s