Cerpen : Di Hujung Doa (Bhg. Akhir)

“Pernah kau rasa DIA tidak adil?”, Absyar menyoal Umar.

Umar tersenyum. Memang inilah peluang yang ditunggu-tunggunya. Bercakap tentang soal akidah,ibadah dan akhlak.

“Tak pernah”,Umar menjawab,jujur.

“Sekalipun tak pernah?”,Absyar tidak puas hati. Dia yakin, semua orang pernah merasakannya.Bukan dia seorang.

“Demi Allah, tidak pernah”, Umar sememangnya tidak pernah terlintas dalam menyoal keadilan Allah kerana dia tahu, Allah itu sememangnya Maha Adil.Tidak boleh diragukan.

“Allah yang menciptakan kita semua. Mustahil DIA tak pedulikan kita, Absyar. Setiap yang berlaku,ada sebabnya. Kau kalah, jatuh, sedih, gembira, semuanya ditakdirkan bersebab. Allah bukan saja-saja nak uji kau dengan semua itu. Tak lain tak bukan ialah untuk lihat bagaimana kita menghadapi semua ujian itu dan kita kena yakin bahawa Allah akan menguji mengikut kemampuan hamba-NYA. Kau tahu apa yang DIA firmankan dalam surah Al-Baqarah?”, Umar menjelaskan panjang lebar,berharap agar Absyar terbuka hatinya untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Absyar menggeleng. Tidak tahu. Bahkan, dia tidak tahu surah yang bernama Al-Baqarah itu wujud.

Malu.

Dia terasa bagai sesuatu yang berat telah terangkat daripada hatinya.Seperti seorang mangsa tanah runtuh yang dadanya terhempap dengan satu batu besar,lalu diangkat batu itu dan begitulah perasaan Absyar.Terasa hatinya lapang,ringan dan sungguh,perasaan sebegitu tidak dapat digambarkan!

Absyar dikejutkan dengan alunan indah suara Umar yang mengalunkan surah Al Baqarah ayat ke 286 beserta maksudnya :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dia kerjakan dan dia mendapat seksa dari kejahatan yang diperbuatnya.

Mereka berdoa,”Ya Tuhan kami,janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.Ya Tuhan kami,janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak sanggup pikulkan.

Maafkanlah kami,ampunilah kami dan rahmatilah kami.Engkaulah pelindung kami,maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir”.

Satu persatu ayat indah itu terucap. Lembut. Umar mengaminkan doa itu dengan penuh syahdu.

Matanya berair dan hatinya cair mengingatkan betapa Allah menyayangi hamba-hamba-NYA. DIA tidak akan meninggalkan hamba-NYA keseorangan terceruk di satu sudut melainkan DIA akan hadirkan bantuan.

Tinggal,kita yang membuat keputusan untuk berlari kearah-NYA atau berpaling muka membelakangi-NYA.

Mulut Absyar terketar-ketar beristighfar. Betapa dia sedar bahawa dia telah melupakan Penciptanya sejak sekian lama. Dia lupa yang selama ini semua kesusahan yang dia lalui itu,ialah ujian semata. Ujian tanda cinta dari-NYA.

Ujian,dia lupa untuk menghadapi dengan keimanan,bukannya kekufuran.

Egonya terbang apabila berhadapan dengan cinta yang Agung, cinta Allah. Rasa rendah diri dan hina yang mencengkam jiwa.

Absyar menangis teresak-esak.

Umar memeluknya erat sambil membisikkan kata semangat ke telinga Absyar.

“Aku anggap kau sebagai adikku. Mulai hari ini, berlarilah kau kepada Allah, Allah akan berlari juga terhadapmu. Bersyukurlah kepada apa yang Allah beri, DIA akan tambah nikmatmu. Perbaikilah akhlakmu mengikut sunnah Rasulullah. Aku disini, insyaAllah akan disisi kau. Allah pertemukan kita pun ada maknanya. Aku sayang kau, kerana Allah!”, Umar sebak. Sungguh,cinta itu indah.

Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya seperti dirinya sendiri.

Dan Umar mencintai Absyar seperti dia mencintai dirinya sendiri.

Dua sahabat itu tenggelam dalam limpahan air mata yang mewangi. Malam itu juga, Umar mengajarkan Absyar cara-cara solat yang betul. Masakan tidak, kali terakhir Absyar solat ialah masa dia di tingkatan lima.Itupun,apabila dipaksa oleh guru disiplin di sekolahnya.

“Hei, Umar”,Absyar memanggil Umar di hadapannya.

Umar yang seusai mengimamkan solat taubat kepada Absyar itu menoleh.

“Aku..sayang kau,kerana Allah!”,mata Absyar berkaca-kaca.Benar,dia sayangkan Umar kerana Allah.Umar, dialah yang mengenalkan dan mengingatkannya kembali kepada yang Penciptanya,Tuhannya.

“Baru aku sedar, yang salah satu sebab aku jadi pengemis dulu, ialah untuk bertemu dengan kau. Berbaloi aku jadi pengemis dulu,Syam ”, Absyar mula faham aturan Allah.

Dia tidak sepatutnya menyalahkan takdir dan melulu mengatakan Allah tidak sayang padanya.Semua yang berlaku ada musababnya.

Air matanya tidak henti-henti menitis. Syukur. Dia berada di jalan yang yang sepatutnya muslimin berada. Menghambakan diri kepada Allah, bukan dunia ; itu yang sepatutnya.

Umar menarik Absyar ke dalam pelukannya.

Malam itu menjadi saksi. Seorang hamba-NYA kembali menyucikan jiwa, kembali menghadap Allah yang Esa dengan dosa-dosa berguguran di celah-celah air mata.

Hari itu, seorang pengembara yang sesat di belantara,telah menjumpai kompas agung, luar biasa.

***

Bisnes melukis Absyar semakin rancak. Tidak cukup di Tasik Mutiara, Absyar mengembangkan sayapnya ke taman-taman rekreasi yang lain.

Dia belajar untuk mengawal kemarahannya dan bercakap dengan lemah lembut. Dia tidak lupa membawa peneman yang paling setia sepanjang kerjanya iaitu sejadah dan terjemahan Al-Quran. Jika waktu solat telah masuk, dia akan terus solat di sebelah kanvas lukisannya dan akan mentadabbur ayat-ayat Al-Quran untuk menyegarkan jiwanya.

Sehari tidak bertemu ayat-ayat cinta Allah itu, hatinya bagaikan suram,tidak bercahaya.

Berdoa di akhir solat tidak pernah ditinggalkannya. Dia berdoa agar dia dimudahkan urusan dalam segala hal.Tidak lupa juga doa yang subur untuk ayah dan ibunya.

Doa itu senjata.

Terbukti, segala urusannya mudah dan paling penting ialah “Percaya”.

Absyar juga mula menjinakkan diri untuk bersedekah. Usrah di surau pada dua hari lepas menyedarkannya betapa ajaibnya kesan bersedekah.Ditekankan pula dengan peringatan Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 180 yang bermaksud ;

“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang kikir dengan apa yang diberikan Allah kepada mereka dari kurnia-NYA,mengira bahawa kikir itu baik bagi mereka,padahal ia buruk bagi mereka.

Harta yang mereka kikirkan itu akan dikalungkan di lehernya pada hari kiamat. Milik Allah lah apa yang ada di langit dan di bumi. Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan”.

Walaupun sedikit pendapatan yang diperoleh dalam sehari, Absyar tetap berusaha untuk menyedekahkan kepada orang yang  memerlukan.

Benarlah, sedekah itu menyucikan.Hatinya tidak mudah berasa riak dengan apa yang diperolehinya.

Islam itu indah. Hanya kita yang mengotorkannya.

***

“Alhamdulillah, aku dah agak, hari ini akan tiba!”,Umar menepuk-nepuk bahu Absyar. Senyum sampai telinga melihat Absyar di hadapannya.

“Alhamdulillah. Jasa kau juga! Apa pendapat kau?”, Absyar yang bermandi peluh itu bertanya.

Tanpa sempat Umar membalas, satu suara di corong pembesar berbunyi,di pentas utama.

“Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, kita persilakan Syahir Absyar b Reha Zaman!”, suara nyaring itu memanggil nama Absyar.

Hari itu hari besar buat Absyar. Pameran lukisan jalanan tiga-dimensinya  (3D) mendapat sambutan yang luar jangkaan. Lukisan yang bertemakan “Minum Petang” itu diolah menjadi suasana minum petang di jalanan di antara pengemis-pengemis yang berkopiah,memegang tasbih.

Seperti biasa, lukisannya memepesonakan setiap mata yang memandang. Orang ramai yang lalu lalang akan mengelak daripada melalui lukisan itu kerana menyangka pengemis tersebut benar-benar berada di jalan itu, sedangkan ia hanyalah lukisan. Benar-benar gaya Kurt Wenner!

“Dalam banyak-banyak tema, kenapa “Minum Petang” ya?”penemu ramah itu tersenyum bertanyakan soalan kepada Absyar.

Penonton yang mendengar ada yang tertawa. Lucu barangkali.

“Kerana segalanya bermula dengan sebuah assignment sahabat saya yang bertajuk “Minum Petang” dan..dia benar-benar sahabat!”, Absyar tidak sempat menyediakan teks yang panjang berjela menerangkan teknik mewarna dan perincian yang dibuat. Dia hanya tahu bahawa semua yang dicapai hari ini ialah nikmat Allah dan Allah hantar Umar Hisyam sebagai tenteranya. Dari situ dia nampak jelas bahawa doa ialah benar-benar senjata.

Absyar mengenyitkan mata kepada Umar dan Umar menunjukkan tanda “hebat” dengan mengangkat ibu jarinya.

“Dia tidak tahu, yang hebat ialah dia sendiri, bukan aku.Hmm..Umar..Umar..”,Absyar bermonolog sendiri. Tersenyum bahagia.

Duyunan penonton di situ menepuk tangan gemuruh. Di celah-celah itu, dia ternampak seseorang. Tersenyum sambil menepuk tangan dan lelaki itu juga mengangkat ibu jarinya sebagai tanda “hebat”.

Dato’ Reha, ayahnya.

“Ayah, Absyar sudah menjadi manusia.Maafkan Syar, yah!”, bisik hati Absyar sambil berlari turun daripada pentas dan memeluk erat ayahnya.

Hari itu tiada lagi dendam kesumat atau ego yang menggunung, hanya ada kasih sayang yang tersubur indah; satu lagi kehebatan doa.

Sungguh, Allah Maha Mendengar dan Maha Memakbulkan doa hamba-NYA.

***

Epilog

Absyar berpindah ke rumah asalnya. Dia hidup bersama ayahnya seperti hubungan ayah-anak yang normal, malah lebih mesra daripada itu. Hasil daripada usahanya sendiri, dia telah berjaya menubuhkan satu Syarikat Lukisan iaitu Brushes.Absyar Sdn. Bhd.

Syarikatnya itu kerap membuat galeri lukisan yang bertemakan Islam dan keindahannya dan setiap lukisan mempunyai makna tersendiri. Kadang kala, Absyar juga melakar lukisan 3D nya di jalanan atau di kaki lima, sekadar memenuhi hobinya yang menggelegak.

Hidup Absyar lebih teratur dan yang penting cintanya kepada Pemilik Langit dan Bumi itu semakin utuh. Lebih utuh daripada awan yang tak bertongkat.

**TAMAT**

Kadang hidup ialah jingga. Kadang biru. Apapun warna kehidupan itu, hiduplah seperti bakal penghuni syurga. Muttaqin,Muhsinin, Mukminin.
Kadang hidup ialah jingga. Kadang biru. Apapun warna kehidupan itu, hiduplah seperti bakal penghuni syurga. Muttaqin,Muhsinin, Mukminin.

Baca juga :

Bahagian 1 : https://iasvoyage.wordpress.com/2013/04/25/cerpen-di-hujung-doa-bhg-1/

Bahagian 2 : https://iasvoyage.wordpress.com/2013/04/28/cerpen-di-hujung-doa-bhg-2/

Advertisements

Speak your mind here! :]

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s