CERPEN

Cerpen : Kapsul untuk Hidup

Telefon yang berada di hujung mejanya berdering. Sakit kepalanya tidak beransur pulih, malah lebih memberat. Dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya, dia menekan-nekan bahagian depan kepalanya- mengharapkan sedikit keredaan. Deringan telefon dua tiga kali itu sengaja dihiraukan, sambil berdoa supaya deringan itu cepat tamat. Dia tidak berasa ingin menjawab panggilan daripada sesiapa pun, dia ingin bersendirian – tiada gangguan.

Deringan telefon yang membingitkan telinganya itu akhirnya berhenti. Dia menarik pemegang laci mejanya, dan meraba-raba ke dalam mencari sesuatu. Lama dia mencari ke dalam laci yang entah berapa tahun tidak dikemasnya, dan akhirnya jemarinya menyentuh barangan yang dicarinya. Dia tersenyum sendiri sambil meraup mukanya yang berpeluh itu dan menyelit untaian rambutnya yang terlepas ke belakang cuping telinganya. Rimas.

Kapsul yang berada di papan plastik aluminium itu ditenung lama. Berbaki lagi dua, lopak-lopak lain sudah kosong dan dia tidak punya stok lagi. Akhir-akhir ini, sakit kepalanya semakin menjadi-jadi dan ditelannya ubat itu secara menggila.

Dia menekan bahagian belakang kapsul yang berbaki itu dan menolaknya ke atas dan kini kapsul putih bersaiz agak besar itu berada di dalam genggamannya. Lalu, dilemparnya kapsul itu sehingga ke kerongkong sambil tangan yang satu lagi mencapai botol air minuman yang memang tersedia terbuka di atas mejanya.

Gulp. Matanya ditutup rapat sambil memaksa kapsul gergasi itu melepasi terowong kerongkongnya. Seperti seseorang yang kepanasan dilempar ke dalam air sejuk, dia merasa selesa kembali. Sakitnya pantas benar menghilang dan dia mula mengemas mejanya yang berserabut dengan kepingan kertas-kertas yang tidak tersusan dan sticky notes berwarna warni yang dilekatkan meliar sekitar depan komputernya dicabut sebelum digumpalkan menjadi satu gumpalan besar dan dibuang ke dalam tong sampah yang sudah melimpah ruah itu.

Jarinya menari-nari mengetuk mejanya yang sudah agak rapi itu, seperti memikirkan sesuatu.Jam dinding yang tergantung 60 darjah daripada laras matanya ditatap seketika. Terasa lama benar dia berada di pejabat itu pada waktu ini.

Telefon di hujung sana berdering lagi. Kesan daripada kapsul yang ditelan tadi yang membuatkan dia kembali ‘hidup’, dengan serta merta dia mengangkat gagang telefon itu dan menjawab selembut mungkin.

Hello, Pusat Terapi coach Mas bercakap”.

Begitulah skrip untuk menjawab setiap pangilan. Dia menunggu suara di hujung corong sana. Dia tahu, sesiapa yang mendialnya ialah seorang yang mengalami depresi, dan memerlukan pertolongan orang seperti dia, seorang coach pengurusan emosi, dan masalah kehidupan. Jadi, dia perlu menangani pelbagai jenis orang dan sudah tidak terkira ramainya orang yang sudah dia berjaya pulihkan kehidupan mereka.

Suara di hujung corong itu mula kedengaran. Suara seorang perempuan yang tersesak esak mengatakan beliau sudah tidak tahan lagi untuk hidup. Beliau ingin mati sahaja kerana itu yang difikirkan paling mudah untuk menyelesaikan masalah yang dilandanya itu. Dia sudah hilang punca sejak lelaki yang amat dicintainya itu hilang secara tiba-tiba, tidak meninggalkan apa-apa pesanan.

Mas sudah masak dengan masalah pelanggannya seperti itu. Jadi, tidaklah sukar baginya untuk berunding akan hal sebegini. Kalendar dihadapannya itu di capai dan matanya mencari-cari suatu tarikh.

“Kalau begitu, kita jumpa pada lima haribulan ini lah, boleh cik?”.

Suara pelanggannya beransur tenang dan cepat sahaja beliau bersetuju akan cadangan Mas, coach terapi diri itu.

“Saya berjanji akan lakukan yang terbaik, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan,cik. Percayalah, saya akan perkenalkan modul mujarab buat cik”, ucapnya penuh yakin sebelum menamatkan panggilan telefon itu.

Satu lagi janji temu berjaya dibuat dan dia tersenyum puas. Tidak lama kemudian, telefon itu berdering lagi. Dijawabnya juga menggunakan kaedah yang sama, cuma masalah pelanggannya sahaja yang berlainan. Panggilan demi panggilan diterimanya sehinggalah titik jarum jam menunjukkan waktu habis kerja. Dia melihat kalendar hariannya yang padat ditandai dengan bulatan pelbagai warna. Tarikh-tarikh janji temu terapi yang telah di booking oleh pelanggan-pelanggannya itu. Dia mula mengemas untuk pulang.

Sesampainya dia dirumah, dia dapat merasakan kepalanya berpusing lagi. Kesakitan yang menusuk seluruh otot otaknya begitu luar biasa sehingga dia terpaksa memegang dinding-dinding rumahnya untuk berjalan. Suara-suara bisikan halus dapat didengarnya di mana-mana ceruk. Suara itu bagaikan mengejeknya. Semakin lama, semakin galak pula bisikan itu.

Dia menjerit sambil menekup kedua-dua belah tangan ke telinganya. Dia terlupa dimana letaknya kapsul yang biasa ditelannya itu. Sakitnya semakin mencucuk hebat. Bagaikan ada sebilah pisau tajam yang menyiat-nyiat hatinya tatkala peristiwa lima tahun yang lepas terlayar kembali di media otaknya. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa suami yang dikahwininya lima tahun lepas meninggal dunia di depan mata kepalanya sendiri, digilis lori bertayar enam belas. Air matanya tidak semena-mena mengalir dengan deras dan dia menjerit bagaikan orang gila.

Tanda nama bertulis “Coach Mas” yang sebentar tadi di pin kemas atas poket baju kemeja kerjanya terlempar entah ke mana sewaktu dia bergelut dengan dirinya sendiri. Dia punya masa yang cukup untuk mencari kembali kapsul ajaib itu, kapsul yang boleh membuatkan dia ‘hidup’ kembali  yang mungkin terletak di salah satu laci kabinet dapurnya – sebelum melangkah keluar sebagai Coach Mas lagi pada esok hari.

Coach Mas yang lantang membentangkan modul kepada pelanggannya tentang cara-cara untuk mengawal kesedihan melampau dan tips berkesan untuk meneruskan hidup, walaupun dia sendiri sudah tidak tahan untuk menghadapi kehidupannya.

***

Jam dua tiga minit pagi. Sekadar menemani malam yang beransur cerah.

Advertisements
Standard

Speak your mind here! :]

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s