Cerita Cinta di Tanah Sombrero (1)

Jauh beribu tahun cahaya daripada Bumi, dan Bima Sakti, ada satu kehidupan di Tanah Sombrero. Tanah Sombrero yang terapung bersama Galaksinya, di situ juga terkandung cerita yang erm, kau bisa kira – agak sama dengan yang berlaku di tanah berpijak kau sekarang. Kurang lebih semirip. Tanah Sombrero ialah satu kota yang tersergam  indah dalam wilayah Galaksi Sombrero. Di tengah-tengahnya terletak Prisma Sombrero iaitu istana Raja Raphael. Ia adalah Tanah Utama pemerintahan dan dari situlah tempat terpancarnya cahaya yang membuat terang seluruh galaksi berdekatan. Sombrero yang bercahaya, siapa tahu – di dalamnya penuh gejolak cerita. Dan kisah inilah yang kau akan ikuti. Rumuskan sahaja cerita ini sebagai cerita cinta. Cerita cinta di Tanah Sombrero.

 ***

Rand melontarkan pandangannya ke luar tingkap jernih itu. Pandangannya tertumpu kepada Sirius, sebuah bintang yang paling cerah sekali di antara gugusan bintang yang lain. Pergerakan bintang-bintang dan planet kecil yang lain perlahan-lahan beredar mengikut paksi yang ditetapkan. Sebenarnya, bukan itu yang menjadi perhatiannya, tetapi fikirannya jauh melayang kepada peristiwa yang berlaku dua hari yang lepas. Saat usaha menyelamatkan Bonda Safea nyaris-nyaris bertemu kegagalan. Saat tanah-tanah milik Kerajaan Sombrero hampir-hampir jatuh ke tangan Wilayah Ursa. Perebutan itu sudah begitu lama berlangsung, dan menjadi semakin teruk apabila Ketua Zinthor mengugut untuk turut melibatkan nyawa bondanya. Walaupun Bonda Safea bukanlah bonda kandungnya, tetapi entah mengapa, ikatan yang dirasakan begitu kuat. Mungkin disebabkan Bonda Safealah yang menjadi galang ganti bonda kandungnya yang juga dibunuh oleh konco-konco Ketua Zinthor dahulu. Atas dendam itulah, Rand sudah tidak tahan lagi untuk menatap wajah sinis Ketua Zinthor itu. Ingin sahaja dia menamatkan terus riwayat pemerintah Ursa itu. Biar tiada nyawa lagi terkorban.

Mindanya melayang lagi. Dan terhenti kepada layangan terakhir.

“Siapa kau?”

Rand terkejut melihat Bonda Safea dipangku oleh seorang gadis yang tak dikenalinya. Darah hitam kelihatan terbeku di hujung bibirnya, sambil matanya sekejap celik,sekejap layu. Rand cemas. Takut-takut yang memangku bondanya itu pembunuh yang diupah Ketua Zinthor.

Konco-konco Ketua Zinthor semuanya tumpas, mati bergelimpangan dek penangan senjata U-X1 yang menjadi senjata rasmi Kerajaan Sombrero. Tiada senjata lain yang boleh mengalahkan U-X1, dan disebabkan itulah Wilayah Ursa tidak henti-henti melakukan penyelidikan tentang kelemahan U-X1.

Gadis yang memangku bondanya tidak menjawab soalannya. Malah, kelihatan lebih sibuk membelek satu alat peranti yang besarnya memenuhi telapak tangannya, sesekali keningnya dikerut-kerut. Rand semakin tidak berpuas hati. Dua tiga minit jika perkara ini berlarutan, dia mungkin pulang ke Prisma Sombrero tanpa bondanya.

“Hei, lepaskan dia !”, Rand memberi arahan keras kepada gadis itu. Ingin sahaja dia merampas bonda terus ke pangkuannya, tapi bimbang jika tindakan itu akan menyebabkan bondanya berada dalam keadaan yang lebih bahaya. Senjata UX-1 itu dipegangnya kemas, sebagai langkah berjaga-jaga. Dia tidak akan menyerang wanita dan golongan lemah – itu satu prinsip seorang keturunan Raja Raphael. Dia tidak diajar begitu.

“Shh!”

Gadis itu menjeling kearah Rand sambil memberi arahan supaya senyap. Kali ini, dia memegang lengan bonda, dan membuat satu gerakan jari lalu sebuah cahaya berwarna emerald terus meresap masuk ke nadi bondanya. Jari jemari gadis itu menekan-nekan skrin alat peranti di tangannya, dan tidak semena-mena, dia tersenyum sendiri.

“Bonda awak selamat”, Gadis itu tiba-tiba bersuara sambil mengerling Rand. Perlahan-lahan, tubuh bondanya itu dilepaskan, memberi peluang kepada Rand untuk membawanya pulang ke Prisma Sombrero.

Gadis yang berbaju kulit berwarna jingga, dan berskirt labuh kelabu itu pintas bangun sambil membetulkan tudung sutera yang dipakainya. Dia berkira-kira untuk menoleh ke belakang, berjalan ke arah Stellar, kenderaan rasmi Wilayah Ursa.

“Penduduk Ursa? Konco Zinthor?”, Rand bertanya kebingungan. Konco-konco Zinthor, atau rakyat Ursa tidak akan sebaik ini. Tidak akan menyelamatkan bondanya kerana maklum akan kekejaman Ketua Zinthor terhadap pengikutnya yang berpaling tadah. Tidak mungkin ada orang yang sanggup mengingkari perintahnya. “Atau..ini ialah helah licik untuk membunuh bonda?”hati Rand terus sahaja bersangka-sangka. Jika benarlah sedemikian, dia tidak akan ragu-ragu lagi untuk mencapai U-X1 yang tersemat kemas itu!

bersambung
Advertisements

Speak your mind here! :]

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s