Cerpen : Kapsul untuk Hidup

Telefon yang berada di hujung mejanya berdering. Sakit kepalanya tidak beransur pulih, malah lebih memberat. Dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya, dia menekan-nekan bahagian depan kepalanya- mengharapkan sedikit keredaan. Deringan telefon dua tiga kali itu sengaja dihiraukan, sambil berdoa supaya deringan itu cepat tamat. Dia tidak berasa ingin menjawab panggilan daripada sesiapa pun, dia ingin bersendirian – tiada gangguan.

Deringan telefon yang membingitkan telinganya itu akhirnya berhenti. Dia menarik pemegang laci mejanya, dan meraba-raba ke dalam mencari sesuatu. Lama dia mencari ke dalam laci yang entah berapa tahun tidak dikemasnya, dan akhirnya jemarinya menyentuh barangan yang dicarinya. Dia tersenyum sendiri sambil meraup mukanya yang berpeluh itu dan menyelit untaian rambutnya yang terlepas ke belakang cuping telinganya. Rimas.

Kapsul yang berada di papan plastik aluminium itu ditenung lama. Berbaki lagi dua, lopak-lopak lain sudah kosong dan dia tidak punya stok lagi. Akhir-akhir ini, sakit kepalanya semakin menjadi-jadi dan ditelannya ubat itu secara menggila.

Dia menekan bahagian belakang kapsul yang berbaki itu dan menolaknya ke atas dan kini kapsul putih bersaiz agak besar itu berada di dalam genggamannya. Lalu, dilemparnya kapsul itu sehingga ke kerongkong sambil tangan yang satu lagi mencapai botol air minuman yang memang tersedia terbuka di atas mejanya.

Gulp. Matanya ditutup rapat sambil memaksa kapsul gergasi itu melepasi terowong kerongkongnya. Seperti seseorang yang kepanasan dilempar ke dalam air sejuk, dia merasa selesa kembali. Sakitnya pantas benar menghilang dan dia mula mengemas mejanya yang berserabut dengan kepingan kertas-kertas yang tidak tersusan dan sticky notes berwarna warni yang dilekatkan meliar sekitar depan komputernya dicabut sebelum digumpalkan menjadi satu gumpalan besar dan dibuang ke dalam tong sampah yang sudah melimpah ruah itu.

Jarinya menari-nari mengetuk mejanya yang sudah agak rapi itu, seperti memikirkan sesuatu.Jam dinding yang tergantung 60 darjah daripada laras matanya ditatap seketika. Terasa lama benar dia berada di pejabat itu pada waktu ini.

Telefon di hujung sana berdering lagi. Kesan daripada kapsul yang ditelan tadi yang membuatkan dia kembali ‘hidup’, dengan serta merta dia mengangkat gagang telefon itu dan menjawab selembut mungkin.

Hello, Pusat Terapi coach Mas bercakap”.

Begitulah skrip untuk menjawab setiap pangilan. Dia menunggu suara di hujung corong sana. Dia tahu, sesiapa yang mendialnya ialah seorang yang mengalami depresi, dan memerlukan pertolongan orang seperti dia, seorang coach pengurusan emosi, dan masalah kehidupan. Jadi, dia perlu menangani pelbagai jenis orang dan sudah tidak terkira ramainya orang yang sudah dia berjaya pulihkan kehidupan mereka.

Suara di hujung corong itu mula kedengaran. Suara seorang perempuan yang tersesak esak mengatakan beliau sudah tidak tahan lagi untuk hidup. Beliau ingin mati sahaja kerana itu yang difikirkan paling mudah untuk menyelesaikan masalah yang dilandanya itu. Dia sudah hilang punca sejak lelaki yang amat dicintainya itu hilang secara tiba-tiba, tidak meninggalkan apa-apa pesanan.

Mas sudah masak dengan masalah pelanggannya seperti itu. Jadi, tidaklah sukar baginya untuk berunding akan hal sebegini. Kalendar dihadapannya itu di capai dan matanya mencari-cari suatu tarikh.

“Kalau begitu, kita jumpa pada lima haribulan ini lah, boleh cik?”.

Suara pelanggannya beransur tenang dan cepat sahaja beliau bersetuju akan cadangan Mas, coach terapi diri itu.

“Saya berjanji akan lakukan yang terbaik, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan,cik. Percayalah, saya akan perkenalkan modul mujarab buat cik”, ucapnya penuh yakin sebelum menamatkan panggilan telefon itu.

Satu lagi janji temu berjaya dibuat dan dia tersenyum puas. Tidak lama kemudian, telefon itu berdering lagi. Dijawabnya juga menggunakan kaedah yang sama, cuma masalah pelanggannya sahaja yang berlainan. Panggilan demi panggilan diterimanya sehinggalah titik jarum jam menunjukkan waktu habis kerja. Dia melihat kalendar hariannya yang padat ditandai dengan bulatan pelbagai warna. Tarikh-tarikh janji temu terapi yang telah di booking oleh pelanggan-pelanggannya itu. Dia mula mengemas untuk pulang.

Sesampainya dia dirumah, dia dapat merasakan kepalanya berpusing lagi. Kesakitan yang menusuk seluruh otot otaknya begitu luar biasa sehingga dia terpaksa memegang dinding-dinding rumahnya untuk berjalan. Suara-suara bisikan halus dapat didengarnya di mana-mana ceruk. Suara itu bagaikan mengejeknya. Semakin lama, semakin galak pula bisikan itu.

Dia menjerit sambil menekup kedua-dua belah tangan ke telinganya. Dia terlupa dimana letaknya kapsul yang biasa ditelannya itu. Sakitnya semakin mencucuk hebat. Bagaikan ada sebilah pisau tajam yang menyiat-nyiat hatinya tatkala peristiwa lima tahun yang lepas terlayar kembali di media otaknya. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa suami yang dikahwininya lima tahun lepas meninggal dunia di depan mata kepalanya sendiri, digilis lori bertayar enam belas. Air matanya tidak semena-mena mengalir dengan deras dan dia menjerit bagaikan orang gila.

Tanda nama bertulis “Coach Mas” yang sebentar tadi di pin kemas atas poket baju kemeja kerjanya terlempar entah ke mana sewaktu dia bergelut dengan dirinya sendiri. Dia punya masa yang cukup untuk mencari kembali kapsul ajaib itu, kapsul yang boleh membuatkan dia ‘hidup’ kembali  yang mungkin terletak di salah satu laci kabinet dapurnya – sebelum melangkah keluar sebagai Coach Mas lagi pada esok hari.

Coach Mas yang lantang membentangkan modul kepada pelanggannya tentang cara-cara untuk mengawal kesedihan melampau dan tips berkesan untuk meneruskan hidup, walaupun dia sendiri sudah tidak tahan untuk menghadapi kehidupannya.

***

Jam dua tiga minit pagi. Sekadar menemani malam yang beransur cerah.

Cerpen : Gadis Bertudung Ungu

Pagi yang agak dingin tetapi mengangkut 3 plastik hitam yang berat itu membuatkan Absyar bermandi peluh. Mengangkut plastik-plastik sampah dari Blok Asrama Napoleon ke tempat longgokan sampah itu terasa bagaikan satu tahun perjalanan. Penat!

Sepuluh, sebelas langkah, Absyar berhenti seketika, mengemaskan pegangannya sebelum mengangkat kembali plastik-plastik itu. Dia memandang jauh ke hadapan. Ternyata tempat longgokan sampah itu masih jauh. Mulutnya mula mengomel itu ini,mengeluh sambil mengelap peluh dahinya dengan hujung lengan bajunya. Dia mengambil sebotol air mineral yang disemat ke dalam poket seluarnya itu,lalu meneguk beberapa kali untuk membasahkan tekaknya yang mula kontang itu.

Bekerja sebagai Cleaner di kolej kediaman universiti sangkanya mudah, dan hanya sekadar mengutip sampah dan menyapu lantai. Tetapi sangkaannya meleset sekali. Bekerja sebagai cleaner ialah pekerjaan yang meletihkan dan tidak ada penghujungnya. Hari ini sampah dibuang, esok ada lagi sampah. Tiada penghujung!

Absyar mencapai kembali plastik-plastik sampah  di kiri dan kanannya,berkira-kira untuk meneruskan perjalannya . Semakin lama dia di situ, semakin ramai pelajar yang lalu lalang,menghadiri kuliah barangkali. Dia harus meneruskan perjalannya sebelum lebih ramai lagi pelajar membanjiri tempat itu.

“Boleh ke tak tu?”, tiba-tiba, Absyar terdengar satu suara dari belakang.

Dia terhenti. Err, siapa pula ni?

“Nak saya tolong ke?”, suara itu berbunyi lagi. Perempuan.

Absyar menoleh dan kelihatan seorang gadis bertudung ungu, berdiri tidak jauh darinya. Manis dan cantik orangnya.

“Awak ke cakap tadi?”, Absyar menyoal untuk kepastian. Tidak mungkinlah gadis cantik ini mahu menolongnya mengangkat sampah. Tidak mungkin! Aneh.

Gadis itu mengangguk-angguk.

“Berat tu. Saya boleh tolongkan..”, Gadis itu bersuara lagi,sambil menghulurkan tangan, meminta satu daripada tiga plastik yang di pegang Absyar.

Absyar terkesima, membeku. Matanya tidak berkedip. Sepanjang kariernya sebagai cleaner di sini, inilah kali pertama seorang makhluk bernama manusia menawarkan pertolongan kepadanya. Dia kira, hidup di abad ini segalanya perlu dilakukan sendiri tanpa pertolongan daripada sesiapa.  Maklumlah, masing-masing sibuk dengan hal sendiri dan istilah “menolong” ialah sesuatu yang aneh benar.

Bunyi-bunyi kriuk plastik menyedarkannya dari lamunan itu. Sedar-sedar sahaja, dia melihat gadis manis bertudung ungu itu sudah maju kehadapan, mengangkut satu plastik sampah hitam yang tidak kurang beratnya. Terkocoh-kocoh Absyar mengangkat dua lagi plastik sampah itu dan berusaha untuk berjalan seiring gadis itu.

“Kelas ke?”, Absyar menyoal tatkala berjaya berjalan bersebelahan gadis itu. Sengaja dia berbahasa basi walaupun dia tahu daripada penampilannya yang menyandang beg yang separuh penuh sambil memegang dua buah buku di tangannya.

Gadis itu menoleh dan tersenyum lalu menjawab “Haah,kelas. Sampah ni dari blok mana?”.

“Tuuu, Napoleon”, Absyar menjawab sambil menoleh ke belakang menunjuk ke arah blok tersebut.

“Oh, jauh juga”

Absyar mengangguk-angguk.

Langkah-langkah yang lain hanya ditemani oleh hiruk pikuk pelajar-pelajar yang mula membanjiri ruang sekeliling. Absyar berkali-kali melihat gadis itu. Mulutnya bagai terkunci. Perasaan tidak percayanya masih belum pulih. Gadis itu hanya memandang ke hadapan dengan bahu sebelah kanannya sedikit jatuh dek beratnya plastik sampah itu. Absyar memandang lagi dan lagi.

“Manusia kah ini? Baik betul!”,desis hatinya sebelum kembali memandang ke hadapan,meneruskan perjalanan yang berbaki itu.

Selepas beberapa minit mengharungi hening itu, akhirnya mereka sampai ke tempat longgokan sampah yang dimaksudkan. Kelihatan dua tiga orang sedang menunduk,khusyuk mengikat simpulkan setiap plastik sampah agar lebih kemas.

“Di sini ?”, gadis itu bersuara.

“Ya”, Absyar mengangguk-angguk. Gadis itu meletakkan plastik sampah yang dibawanya dekat dengan longgokan-longgokan yang lain. Absyar ingin menanyakan sesuatu, tetapi tidak terkeluar.

“Ok lah, saya pergi dulu”.

“Terima kasih”.

“Sama-sama”.

Gadis itu pun mengambil jalannya ke arah kiri. Jalannya agak kelam kabut, entah apa yang dikejarnya. Comel!

Absyar masih berdiri di situ. Melihat sehingga gadis itu hilang di pandangannya sambil tersenyum simpul.

“Hoi!”,Amil, rakan sekerjanya menepuk bahunya,lalu dia tersedar dari lamunan singkat itu.

“Siapa tu? Rajin dia tolong kau”, sergah seorang lagi rakan sekerjanya yang sedang mengira plastik-plastik sampah itu untuk diangkat ke lori yang menunggu mereka.

Absyar mengangkat bahunya tanda tidak tahu. Yang penting, dia kini mengetahui bahawa manusia prihatin masih wujud di planet ini dan selalunya mereka memakai tudung ungu. Eh?

Absyar mekar dengan senyuman lagi.

“Jom sambung kerja! Fuh, hari yang indah hari ini!”, Absyar berkata separuh jerit sambil mendongak ke atas melihat dada langit yang semakin membiru itu. Entah kenapa, dia termotivasi.

***

Absyar melihat-lihat sekeliling. Berkali-kali juga dia berhenti di ruang kosong depan Kolej Napoleon itu. Kali ini, dia tidak berhenti kerana kepenatan atau peluh yang mula menitis dari hujung dahinya,tidak. Dia menunggu seseorang. Kali ini, jika dia ketemu gadis itu, dia akan bertanyakan at least namanya. Berdebar juga dia menunggu kemunculan hari ini.

Namun, dia tidak melihat walaupun bayang-bayang gadis itu. Hendak dikatakan dia lupa, sudah hafal benar dia penampilan si gadis itu. Sekerap mana pun dia berhenti, si gadis itu masih tidak muncul-muncul. Akhirnya, sepanjang hari itu, matanya asyik meliar. Dia mahu bertemu dengan gadis itu sekali lagi. Baginya, cukuplah melihatnya dari jauh kerana melihatnya sahaja sudah membuat hatinya riang.

Namun, hampa. Sehinggalah dia tiba di tempat longgokan sampah itu, gadis itu masih tidak muncul. Sepanjang hari itu, Absyar menjadi pendiam dan asyik termenung.

Hari-hari yang lain juga sama. Gadis bertudung ungu itu masih tidak muncul. Mungkin sahaja beliau hanya kebetulan lalu di jalan itu pada hari tersebut.

Absyar memulakan hari kemudiannya dengan harapan agar berjumpa kembali si gadis itu, atau cukup sekadar berjalan dengan senyap di sisinya seperti hari itu lagi. Sehingga hari ini, walau sepenat manapun dia mangangkut plastik-plastik itu keseorangan atau seramai mana pun manusia yang lalu lalang di kanan dan kirinya, tiada seorang pun yang menawarkan pertolongan. Semuanya sibuk.

Dan selamat datang ke abad yang ke-21!

tumblr_mrnv3iAHYi1r87uo8o1_1280

INSIDE : Gadis Bertudung Ungu

Titanic

“Akak tak sembahyang Maghrib pun tadi.Qadha je lah”, kata kakak itu sambil tersengih di hadapanku.

Aku mengangkat mukaku. Merenung wajah kakak separuh umur itu. Aku yang sedang menyusun baju yang dicuba oleh pelanggan sebentar tadi, kini terhenti seketika. Tidak pasti sama ada kesian atau marah. Yang pasti, hatiku sangat benci kepada perkataan yang terpacul dari mulut kakak itu.

Aku paksa diriku untuk senyum. “Sempat lagi ni, kak. Boleh guna telekung saya”,aku memandang mata kakak itu dengan penuh harap.

“Oh,takpe dik. Cari baju raya dulu, nanti akak qadha bila balik rumah”, jawab kakak itu sambil membetulkan tudungnya. Aku tersentak.

***

” Padan tak baju raya tu?”, kakak itu menyoal anak gadisnya yang baru sahaja keluar daripada fitting room.

“Padan,tapi kaler dia tak sama dengan tema kita lah mama”,anak gadis itu menjawab sambil mencebik mulutnya.

” Tak rayalah kalau kaler tak sama tema”,kakak itu membalas.

dan tiba-tiba aku tersedar tentang sebuah hakikat. Apa sebenarnya definisi raya? Adakah hanya dengan warna baju yang match semuanya atau hari kegembiraan setelah sebulan berpuasa? Apatah lagi membuat persediaan raya dengan mengorbankan waktu bercinta dengan Pencipta kita? Sungguh,definisi itu sudah ‘lari’ banyak.

“oh,inilah dunia sebenar dan inilah ‘pemanasan’ global yang sebenar!”

Dunia kini seperti Titanic. Semakin tenggelam dan akan karam.

***

Seperti biasa, usai Isya’ aku menyelak halaman Al Quran terjemahanku. Mataku kebetulan tertancap pada satu ayat dan ia benar-benar mengetuk hatiku.

Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling dari akhirat.  [Surah Al-Anbiya’ ; ayat 1]

Aku semakin tenggelam dalam khalwatku malam pekat itu. Titis-titis hujan berterusan mengeliuk lentok menari atas atap bumbung rumahku. Doaku buat kakak itu dan segenap ahli dunia yang lainnya. Semoga kita mendapat hidayah dan nur daripada Allah untuk tetap kuat untuk berdiri tegak dan mengangkat takbiratul ihram.

titanic
Titanic di dasar lautan, selepas 100 tahun. Sumber: NatGeo

Cerpen : Di Hujung Doa (Bhg.1)

Semburan-semburan asid ke dinding perutnya semakin galak,diminta untuk diisi. Sakit gastriknya mula menyerang. Kerongkong terasa kering bagai berada di padang pasir. Selipar yang dahulunya elok,kini semakin usang dan hampir menemui ajalnya.Jalan-jalan yang diterangi lampu neon itu disusuri tanpa ada ada arah tujuan. Orang ramai lalu lalang di kanan dan kirinya. Ada yang berjalan dengan cepat,sambil bercakap telefon seperti seorang menteri yang sibuk dan tak kurang juga yang berjalan seperti bersiar-siar,mengambil angin.

Dia.

Dia berjalan langkah demi langkah.Sambil matanya melilau kesana-sini, menekan-nekan perutnya yang  sudah lama memberi signal untuk diisi.Layaknya hanya dia seorang yang paling selekeh dan mungkin juga yang paling berbau dek tidak mandi selama seminggu. Orang yang lalu lalang melihatnya sambil mengerutkan dahi dan ramai juga yang seakan-akan tidak melihatnya. Manusia selekeh,siapa mahu tengok? Itulah anggapannya.

Dia mula menerima hakikat bahawa statusnya sekarang ialah “pengemis”.Ya. Pengemis jalanan.

Hidungnya kembang kempis menangkap bau makanan enak yang datang daripada restoran-restoran di depan,tepi dan belakangnya. Sudah seminggu jugalah dia menghabiskan makanan-makanan yang tidak dihabiskan oleh pelanggan yang datang berkunjung ke restoran-restoran itu. Itupun jika dia sempat melarikan diri sebelum pemilik restoran itu menjerit dan menghalaunya pergi.Jika tidak, berlaparlah dia sehingga malam yang berikutnya.

Itulah rutinnya. Tidur sepanjang hari di waktu siang, malamnya merayau mencari makanan dan tidur lagi.

***

“Apa? Keluar daripada rumah ini?”,dia terkejut.Bagai terkena satu renjatan elektrik yang begitu tinggi voltannya .Dia  bagaikan tidak percaya yang ayah kandungnya itu sanggup menghalaunya keluar dari rumah mereka sendiri.

Atau mungkin dia sebenarnya anak angkat yang dahulunya dikutip di tepian jalan seperti kebanyakan drama Melayu yang sering ditayangkan.

Pelbagai tanggapan meliar di benak hatinya. Mukanya terasa panas,seperti matahari  gergasi yang tiba-tiba menembusi rumahnya yang berhawa dingin itu. Marah.

“Ayah mahu kau berdikari. Keluar sekarang! Belajar jadi manusia!”, Suara ayahnya begitu nyaring.

Jadi, selama ini dia bukan manusia? Air matanya bergenang. Lalu cepat-cepat ditahannya.Ego.

Terasa seperti ayahnya telah menjatuhkan “talak tiga” ke atasnya lalu keluar meninggalkan rumah mewah itu sehelai sepinggang,tanpa beg berisi pakaian.Hatinya panas dan untuk  menangis sambil mengemas beg pakaian, itu bukan dia.

Ayahnya sudah membuangnya. Sama seperti ibunya yang melarikan diri entah kemana bersama lelaki yang kononya lebih dicintainya atau mungkin sahaja ibu mencintai harta lelaki itu.

Dunia ialah pentas dan mereka ‘berlakon’ dengan cemerlang.

***

“Hei Busuk! Pergi dari kedai aku! Kau bawa malang,tau tak?!”, Tidak sempat dia menyentuh seekor ikan goreng yang tidak habis di atas meja restoran itu,satu suara lelaki memekak telinganya.

Tidak cukup dengan menjerit, pemilik restoran itu mengejarnya dengan penyapu.Dia berlari sekuat hati dan semua orang ketawa melihatnya.Ada juga yang mencemuh sambil menasihati anak-anak mereka supaya belajar dengan bersungguh-sungguh agar tidak menjadi seperti dia.

Dia hanya ingin makanan sesuap. Terasa dunia dan semua orang tidak memahaminya.

Angin malam yang sejuk itu meresap ke tulangnya yang paling dalam. Entah sama ada pasir memasuki matanya atau matanya sakit dijangkiti kuman, matanya berair. Dalam bahasa tidak egonya, dia menangis.Sedih dan hiba.Dia menangis semahu-mahunya.

Lapar itu menyeksanya.

Gelaran “pembawa malang” itu lebih menyeksa jiwa.

Lutut bertemu dada dan kepala ditundukkan rapat, dia menangis sehingga bahunya terhenjut-henjut.Orang ramai yang lalu lalang tidak lagi dihiraukannya.Ego yang menggunung mencecah langit kini menjadi sekecil butiran pasir di pantai. Hiba.

Dia tidak pernah berasa terhina seperti sekarang. Meminta-minta dan disepak terajangkan oleh orang, baginya mati ialah lebih baik. Anak Dato’ Reha yang punya aset berjuta ratus ringgit tidak layak untuk hidup sebegini! Bentak hati kecilnya. Memarahi Tuhan kerana mengaturkan takdir sebegitu teruk kepadanya.

Tiba-tiba,bahunya seperti disentuh lembut.

“Ah,tidak mungkin ada yang mahu mendekatiku!”, hati kecilnya berkata.Kepalanya masih ditundukkan.

Sekali lagi, dia merasakan bahunya ditepuk perlahan. Sambil mengelap sisa-sia air matanya, dia mendongakkan kepalanya.

“Nasi ayam?”,seorang lelaki berbaju ungu dan berseluar jeans tersenyum padanya sambil menawarkan sebungkus nasi ayam yang di bungkuskan dalam bekas polystyrene.

Baginya, lelaki itu ialah malaikat.

Bau nasi ayam yang menggoda hidungnya itu mendorong dia untuk terus mengambil polystyrene di tangan lelaki itu tanpa sepatah kata lalu dia makan dengan rakusnya.

Satu minit berlalu,dan dia sudah menghabiskan nasi ayam itu. Sisa-sisa nasi di tepi mulutnya dikutip dan dimasukkan semula kedalam mulut.Tidak mahu membazir.

“Kenyang?”, Tiba-tiba lelaki berbaju ungu itu menyoal. Dia tidak perasan bahawa lelaki itu duduk bersila di tepinya.

“Kau nak apa? Aku tidak ada duit.” Tanpa menjawab soalan lelaki itu, dia memintas. Dia bingung,kenapa lelaki itu memberi nasi ayam kepadanya. Pasti mahukan sesuatu.

“Atau, dia tahu bahawa aku anak Dato’ Reha dan mahu menculikku untuk meminta ganjaran daripada ayah?”, prasangka mula menjalar dengan subur di benak fikirannya. Dia berdiri, ingin lari daripada lelaki itu. Tetapi, tangannya dipegang memaksa dia untuk duduk kembali.

“Aku Umar. Umar Hisyam”,lelaki itu memperkenalkan dirinya walaupun tidak disuruh.

“Sudah beberapa hari aku lihat kau kena halau dengan tauke restoran itu?”,lelaki bernama Umar itu menyoal sambil menuding kearah restoran yang sering dia dihalau.

“Makhluk kedekut tu?”,dia muncungkan bibirnya,menjuih ke arah restoran yang selalu menghalaunya itu.

“Sisa makanan pun nak simpan! Bodoh!”,sambungnya. Menambah perasa dalam setiap katanya seperti kebiasaan.Tidak hairanlah mengapa dia tidak punya ramai kawan dalam hidupnya.

Umar tersenyum.

“Lepas ni, kau nak buat apa?”, Tanya Umar.

“Tidur”.Jawabnya ringkas.Memang itu rutin tetapnya.

“Selepas itu? Esok? Lusa?”, Umar menyoal lagi.

“Masih seperti ini? Selamanya?”, Umar menduga,tanpa menunggu jawapan daripadanya.

“Hmm..”,dia mula menggaru kepalanya.

Dia mula berfikir. Ada benarnya juga. Sampai bila dia mahu hidup seperti ini.Hidup meminta-minta dan dihina, seminggu pun dia tidak dapat tahan,apatah lagi selamanya? Benar-benar mimpi ngeri.

“Kau..mahu.. tolong aku?”, dia menyoal perlahan. Soalan seperti itu bagaikan penjatuh maruahnya. Sepanjang dia hidup, dia tidak pernah meminta pertolongan dengan orang lain. Semua ayahnya tunaikan. Tetapi,dia sedar, jika dia melepaskan peluang ini, dia akan menjadi pengemis selamanya. Dia mahu keluar daripada dunia kelam itu. Jadi, ego, prasangka dan sombong harus ditolak jauh-jauh.

Umar tersenyum lebar. “Kalau kau mahu tolong diri kau,aku boleh tolong kau”, Umar membalas.

“Hei, tak payah nak falsafah sangat. Aku tak faham. Kau nak tolong aku?”, dia membentak.Kata berbelit yang dilontarkan Umar sukar untuk dia faham.

Umar tersenyum lagi. Geli hati melihat dia yang suka bercakap kasar dan ego. Itu harus diubah.

“Jom, ikut aku!”,Umar lantas bangun berdiri, sambil melihat dia yang masih duduk.

“Kita sekarang ialah kawan”, Umar berkata lagi sambil menghulurkan tangannya untuk dijabat.

Dia tersentak.

Kawan?

Sudah lama dia tidak mendengar perkataan itu. Sudah lama tiada orang yang sudi mengajaknya berkawan.

Matanya terpana.Melihat satu sosok tubuh yang mahu berkawan dengannya. Manusia apakah ini? Matanya bergenang sayu. Seperti ada satu rasa yang sukar diterjemah olehnya. Satu perasaan suam yang menenangkan menjalar hebat dalam tubuhnya dan tangan mereka pun terjabat erat.

“Ambil barang-barang kau,iku aku!”, Umar memberi arahan.

Dia melihat sekelilingnya.

“Tiada barang apa-apa”, Katanya sambil mencebik mulutnya.

Comel.Umar ketawa.Geli hati.

“Kenapa kau ketawa? Hina aku?”, dia menyoal kasar.

“Taklahhh,kau comel!”,Umar ketawa dan dia pun ketawa.

Mereka berjalan seiringan,seperti sudah lama kenal.

“Eh,apa nama kau?”,tiba-tiba Umar teringat yang dia tidak memperkenalkan dirinya lagi.

“Aku? Aku Absyar. Syahir Absyar”, dia perkenalkan namanya.

“Sedap nama kau!”, Umar menepuk bahunya.

“Orang hensem mestilah nama pun sedap”, dia menempelak.

Gurauan yang pertama buat manusia yang bergelar kawannya. Mereka pun berjalan memecah pekat malam.Satu silaturrahim terbina dan malam pun berlabuh,perlahan.

***

Umar membawa Absyar ke rumah sewanya. Umar ialah seorang pelajar universiti di sebuah universiti tempatan yang menuntut dalam jurusan Seni Visual dan Sentuh.

Dia tinggal bersama 3 orang lagi rakan sejurusannya iaitu Zailani Omar, Abdul Ghafur dan Alaric Idris. Tidak seperti rumah mewah yang selama ini didiami oleh Absyar, rumah sewa itu sederhana sahaja,cukup untuk orang bujang seperti mereka.

“Mulai hari ni, Absyar akan tinggal sebilik dengan aku”, Umar membuat pengumuman di hadapan tiga lagi teman serumahnya itu.

Zailani,Ghafur dan Alaric memandang Absyar dari atas ke bawah, hairan dengan pakaian yang compang-camping dan kumis yang tak terjaga.Layaknya..seperti pengemis.

“Mulai hari ini juga, berukhuwahlah kita,jangan pandang serong antara satu sama lain dan bersahabatlah kerana Allah!”,Umar menyambung lagi kerana sedar pandangan tajam yang dilemparkan kepada Absyar oleh tiga orang teman serumahnya itu.

Absyar terharu.Masih ada manusia yang inginkan ukhuwah dengannya. Jasa orang-orang ini tidak terbalas!

***

“Gila lah kau,Umar! Kau plagiat Kurt Wenner eh?”,rakan-rakan Umar mengelilingi kanvas Umar. Riuh.

Hari itu menjadi hari yang gempar dek satu kanvas.Kanvas Umar.

Umar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Dia juga bingung melihat kanvas lukisan di hadapannya itu. Lukisan yang bertemakan “Minum Petang” itu kelihatan sangat “hidup”.Seolah-olah karakter, pakaian, kerusi, pinggan, cawan, meja kopi dan semuanya tampak hidup. Apatah lagi lukisan itu diolah menjadi suasana minum petang klasik di istana bersama raja,bendahara dan panglima-pamglima Melayu. Tona warna yang tidak terlalu terang dan tidak pula terlalu lembut ditambah dengan perincian tepat setiap lukisan itu menjadikan semua mata tidak berkelip melihat lukisan itu. Bagaikan lukisan daripada kayangan. Mempesonakan.

“Kau plagiat!”,Qaisar,salah seorang rakan sekelasnya yang sangat pandai melukis menuding jari kepadanya. Satu kelas diam. Mereka faham benar dengan perangai Qaisar yang tidak senang jika lukisan orang lain lebih hebat daripadanya.

Umar terdiam. “Plagiat? Ah..aku juga tidak tahu sumber plagiarism ini!”,bentak hatinya.

Inspirasi : Shanghai Tea Party by Kurt Wenner.
Inspirasi : Shanghai Tea Party by Kurt Wenner.

Sambungan : https://iasvoyage.wordpress.com/2013/04/28/cerpen-di-hujung-doa-bhg-2/

Puisi : Perhentian

Kau sebelum ini ialah cahaya

Bak matahari untuk bunga

Kini kau sirna kerana dunia

Kelam tak bercahaya

Menjadi sibuk, terlupa Yang Esa

Dulu, solat dhuha

Mathurat sebelum senja

Hadis-hadis di minda

Kalam-NYA menjadi nasihat utama

Dan makan tidur kau berdoa

Kau yang dulu dan kau yang kini ; berbeza

Usia semakin senja

Namun bekalan ke sana tak seberapa

Ambillah dunia ini seadanya

Kerana dunia itu laut

Dan kita ialah kapalnya

Kapal yang dipenuhi air laut pasti karam ke dasarnya

Kelam.

Tak bernyawa.

Berhentilah. Teliti diri seketika.

551275_524095284295748_667334118_n